Malay

Transformasi Industri Pembinaan Melalui Teknologi Kewangan

Temu bual antara Ketua Pegawai Eksekutif Bayo Pay, Aznul Abdullah bersama Utusan Malaysia melalui e-mel yang berkongsikan latar belakang dan perkhidmatan ditawarkan syarikat berkenaan.

 
Transformasi Industri Pembinaan Melalui Teknologi Kewangan
Photo by rupixen.com on Unsplash

Peranan penting industri pembinaan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tidak dapat disangkal dengan sumbangan RM14 bilion kepada KDNK negara pada suku terakhir. Sektor pembinaan dijangka berkembang pada kadar 13.9% menurut Kementerian Kewangan. Namun, cabaran yang harus ditangani dalam industri termasuk transaksi dana dan pembayaran yang besar, termasuk pemindahan dana ke luar negara yang berlaku setiap bulan apatah lagi apabila transaksi ini yang melibatkan pekerja asing.

Demi mengatasi cabaran industri pembinaan berkaitan transaksi dana dan pembayaran yang besar, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan pragmatik dan profesional telah mengubah sistem pembayaran kepada Kad Hijau CIDB menjadi sistem digital yang lancar, selamat dan mempunyai pelbagai fungsi melalui kerjasama strategik dengan Bayo Pay (M) Sdn. Bhd. untuk mengembangkan perkhidmatan ini dalam kalangan lebih sejuta personel binaan di Malaysia.

Melalui kerjasama dengan CIDB, Bayo Pay memiliki akses kepada lebih 75,000 syarikat pembinaan yang menyediakan pangkalan data lebih sejuta pekerja dan memungkinkan peningkatan keberkesanan operasi. Ini memberikan anggaran jumlah transaksi sebanyak RM1 bilion sebulan dalam bentuk gaji dan upah sahaja.

Sistem ini menggabungkan ciri-ciri keselamatan yang lebih baik untuk mencegah pengklonan, yang membolehkan CIDB mengawal pengeluaran kad. Ia merangkumi kad identiti (ID) maya yang dapat diakses oleh pengguna, majikan dan pegawai penguatkuasa CIDB untuk memeriksa status pendaftaran. Kad Hijau CIDB ini juga digunakan untuk pengenalan, e-dompet, komunikasi dan latihan dalam talian untuk melancarkan semua proses.

Dalam temu bual bersama UTUSAN MALAYSIA melalui e-mel baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Bayo Pay, AZNUL ABDULLAH berkongsi latar belakang dan perkhidmatan ditawarkan syarikat berkenaan.

UTUSAN: Boleh kongsikan pengalaman anda menubuhkan Bayo Pay (M) Sdn. Bhd.?

AZNUL: Bayo Pay ditubuhkan sebagai hasil penglibatan kami dalam usaha penyelidikan industri teknologi kewangan (fintech) sejak 2013.

Bayo Pay kemudiannya terlibat dalam memperkembang teknologi baharu untuk perkhidmatan penerimaan pembayaran apabila negara kita berada di peringkat awal dalam usaha agresif meningkatkan jumlah transaksi pembayaran elektronik. Inisiatif ini diterajui oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menggandakan jumlah terminal pembayaran dalam negara ini.

Bayo Pay kemudian menyedari bahawa perniagaan dalam sektor penerimaan pembayaran ini cenderung untuk menjadi lebih tepu dan peluang untuk pengembangan sangat terhad untuk entiti yang berlandaskan teknologi.

Oleh itu, pada 2016, syarikat kami telah menceburkan diri dalam sektor penerbitan pembayaran  yang mana terdapat peluang yang lebih luas untuk inovasi teknologi dan aplikasi.

Setelah mencipta dan menambah baik produk selama dua tahun, Bayo Pay berjaya mendapatkan kelulusan BNM untuk beroperasi sebagai pengeluar wang elektronik pada 2018.

Seawal 2018, Bayo Pay telah berjaya memperoleh projek yang terulung kali dan juga berskala besar dengan CIDB sebagai bukti kemampuan teknologi dan operasi Bayo Pay.

Apakah cabaran yang dihadapi pada awal permulaan perniagaan Bayo Pay?

AZNUL: Cabaran utama kami pada masa itu adalah mencari bakat-bakat untuk menyertai syarikat. 

Kami memerlukan bakat dari kedua-dua aspek teknologi dan operasi tetapi tidak ramai orang yang mempunyai pengalaman tersebut berhasrat untuk menyertai syarikat yang baru mula beroperasi. Akhirnya kami berjaya mengambil masuk beberapa orang berpengalaman yang mempercayai visi kami. Mereka masih lagi bersama kami di Bayo Pay sehingga hari ini. 

Mendapatkan kelulusan dari kedua-dua pihak BNM dan Mastercard juga merupakan cabaran yang besar buat syarikat kami. Kami bersyukur kerana kami berjaya melalui proses-proses sukar tersebut. Kami percaya perjalanan ini telah meningkatkan taraf Bayo Pay untuk menjadi organisasi yang lebih teratur dan mengutamakan proses dan tadbir urus yang baik.

Boleh terangkan dengan lebih lanjut tentang perniagaan dan perkhidmatan yang Bayo Pay tawarkan?

AZNUL: Produk dan perkhidmatan kami merangkumi pelbagai jenis penyelesaian teknologi kewangan. Kami menyediakan penyelesaian pembayaran digital menyeluruh kepada institusi besar, kerajaan dan badan-badan kerajaan serta syarikat besar. 

Khususnya, penawaran penyelesaian kami merangkumi fungsi-fungsi utama seperti kad prabayar Mastercard; dompet digital mudah suai; penerimaan pembayaran; platform libat urus pekerja (BEEP); senarai gaji Construx; Trade and Retail Inbuilt Environment (Tribe) dan Single-Window Funding Toolkit (Swift). 

Kami juga menyediakan langganan modular terutamanya e-dompet label peribadi dan program kesetiaan serta penghargaan pelanggan kepada organisasi yang lain dalam ekosistem teknologi kewangan ini dan juga perniagaan-perniagaan lain dalam industri peruncitan. 

Sejauh manakah pencapaian Bayo Pay setakat ini dan bagaimana potensi pasaran bagi perkhidmatan yang ditawarkan?

AZNUL: Kami telah berjaya melaksanakan transformasi digital ke atas pengesahan ID yang terjamin dan sistem pembayaran untuk industri pembinaan dengan kerjasama CIDB. 

Kami juga telah berjaya melengkapkan solusi kami yang akan membantu meningkatkan kepatuhan dan standard keselamatan berpotensi di tapak-tapak pembinaan. 

BNM juga telah membenarkan kami untuk beroperasi dengan saiz e-dompet yang berjumlah RM10,000. Ini merupakan kenaikan ketara dari jumlah awal yang dibenarkan iaitu RM200. 

Potensi pasaran teknologi kewangan adalah besar lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang akan melalui proses pemulihan daripada wabak Covid-19. Teknologi dan pengalaman yang kami perolehi dari pengoperasian ID yang terjamin serta instrumen pembayaran untuk sebuah institusi kerajaan seperti CIDB akan membolehkan kami mengembangkan perkhidmatan kami ke sektor-sektor lain di Malaysia juga negara-negara lain di rantau ini. 

Penyelesaian-penyelesaian kami yang turut dapat dikembangkan ke pasaran lain adalah BEEP dan senarai gaji Construx kami. 

Kerjasama yang kami jalankan dengan MaxMoney baru-baru ini yang digabungkan dengan solusi senarai gaji Construx kami juga memberikan harapan yang tinggi untuk meningkatkan pengendalian digital transaksi kewangan untuk sektor pembinaan yang mana dianggarkan RM1 bilion sebulan dalam bentuk gaji dan upah personel binaan.

Apakah yang menjadikan Bayo Pay berbeza dan istimewa berbanding syarikat-syarikat teknologi kewangan yang lain?

AZNUL: Terutamanya, kami adalah syarikat yang menawarkan perkhidmatan secara perniagaan kepada perniagaan (B2B). Kami sentiasa berusaha untuk mendemokrasikan pembayaran digital dan aplikasi teknologi yang berkaitan agar dapat dinikmati oleh lebih banyak institusi dan perniagaan di negara ini. Tujuan kami adalah untuk memudahkan institusi dan perniagaan yang berminat untuk menerima pakai teknologi kewangan digital bagi meningkatkan kemampuan masing-masing. 

Itulah sebabnya seni bina teknologi kami direka bentuk berlandaskan prinsip ini, iaitu penawaran solusi kewangan digital secara B2B. Kebanyakan penawaran kami dapat disesuaikan mengikut keperluan dan kehendak pelanggan. Kami juga mampu memenuhi permintaan pelanggan yang tidak memerlukan rangkaian penyelesaian menyeluruh kami. Pelanggan-pelanggan tersebut boleh memilih modul-modul perkhidmatan yang kami tawarkan mengikuti kesesuaian perniagaan dan perkhidmatan mereka.

Semua penawaran kami dibangunkan dengan ciri API-ready dan boleh dihubungkan dengan kos integrasi yang minimum.

Boleh kongsikan tentang platform berasaskan konsep Digital Payment-as-a-Service (DPaaS). Bagaimana ia dapat membantu dan memberi faedah kepada pelanggan Bayo Pay?

AZNUL: Berpandukan matlamat kami untuk mendemokrasikan pembayaran digital yang juga merupakan teras strategi kami, kami menciptakan konsep DPaaS ini. 

Ini membolehkan institusi yang ingin melangkah masuk sektor FinTech atau menggubal perniagaan mereka dengan mengguna pakai teknologi pembayaran digital dengan kadar pemasaran yang lebih pantas dengan kos yang lebih rendah. Mereka tidak perlu melalui proses kelulusan yang ketat atau mengeluarkan berjuta-juta ringgit untuk mendapatkan infrastruktur pembayaran cekap yang mereka mungkin tidak akan gunakan dengan sepenuhnya. 

Dengan DPaaS ini, mereka hanya melanggan kepada penyelesaian-penyelesaian yang mereka perlukan sahaja mengikut kesesuaian keperluan perniagaan dan perkhidmatan masing-masing.

Apakah perbezaan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Bayo Pay berbanding institusi kewangan fizikal?

AZNUL: Perkhidmatan kami akan menjadi pelengkap kepada penawaran-penawaran institusi kewangan yang lain. Kami tidak memandang institusi kewangan lain sebagai pesaing, malah kami mengalu-alukan sebarang kerjasama dengan institusi kewangan lain.

Perbezaannya dapat dilihat di pasaran sasaran kami, jenis-jenis produk dan aplikasi- aplikasi teknologi.

Kami percaya bahawa penyatuan kekuatan dan kemampuan institusi kewangan, dengan fleksibiliti yang disediakan oleh teknologi kami adalah gabungan yang amat baik sekali.

Apakah kaitan industri pembinaan dengan perkhidmatan yang ditawarkan dan mengapa anda memilih industri ini?

AZNUL: Walaupun industri pembinaan di Malaysia boleh dilabelkan sebagai industri yang matang dengan regulasi yang ketat, industri ini masih terbantut dengan adaptasi teknologi dan amalan-amalan tradisional yang tidak lagi sesuai pada era digital ini. 

Dengan ini kita dapat melihat potensi untuk membuat pembaharuan yang besar. Usaha kami ini lebih lagi dimudahkan oleh usaha-usaha kerajaan untuk mentransformasi industri pembinaan dengan pelancaran Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) pada tahun 2016. 

Dengan penyumbangan kepada KDNK negara sehingga 5%, sebanyak sejuta kakitangan pembinaan berdaftar dan lebih dari 75,000 kontraktor berdaftar, industri ini akan menjadi calon yang tepat untuk menjadi pemangkin yang terbaik untuk mempercepat pembangunan teknologi kewangan digital di Malaysia. 

Boleh kongsikan mengenai kerjasama Bayo Pay dengan CIDB? Apakah peranan Bayo Pay dalam mendorong usaha kerajaan ke arah pendigitalan penyelesaian kewangan bagi industri pembinaan negara? 

AZNUL: Kerjasama kami dengan CIDB melibatkan transformasi menyeluruh sistem pentauliahan personel binaan melalui sistem pendaftaran atas talian yang dikemukakan oleh CIDB untuk personel binaan. Bayo melengkapkan sistem ini dengan menyediakan solusi-solusi berpiawaian tinggi dengan teknologi keselamatan terjamin yang menepati piawaian sektor kewangan untuk memanfaatkan sektor pembinaan. 

Kerjasama ini juga melibatkan bidang-bidang lain seperti platform latihan dalam talian serta modul-modul untuk meningkatkan tahap keselamatan di tapak-tapak pembinaan. 

Dengan penggunaan teknologi yang dibina oleh Bayo Pay, kami berharap untuk melihat peraturan dan penguatkuasaan yang lebih ketat, pengurangan pekerja asing tidak berdaftar dalam sektor binaan dan standard keselamatan yang ditingkatkan.

Baru-baru ini Bayo Pay telah melancarkan perkhidmatan kiriman wang melalui dalam talian menggunakan aplikasi Construx, apakah manfaat kepada pemegang Kad Hijau CIDB melalui aplikasi ini?

AZNUL: Kemudahan kiriman wang melalui aplikasi e-dompet Construx membolehkan pemegang Kad Hijau CIDB melaksanakan transaksi pengiriman wang secara atas talian. 

Melalui ciri terbaru ini, Bayo Pay menyediakan kemudahan untuk personel binaan mengirim wang ke luar negara secara atas talian melalui aplikasi e-dompet Construx dengan selamat dan lancar.

Selain memanfaatkan kemudahan teknologi digital di hujung jari, pendekatan ini memastikan jaminan keselamatan individu memandangkan transaksi tidak perlu dilaksanakan secara fizikal di kaunter ketika pandemik ini.

Digabungkan dengan pembayaran gaji senarai gaji Construx, majikan-majikan dalam sektor pembinaan juga dapat meningkatkan keselamatan pekerja mereka seterusnya dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan personel binaan yang dapat menjejaskan operasi tapak binaan.